Kehidupan dan kerjaya Nazril_Idrus

Nazril dilahirkan pada 28 April 1974 di Petaling Jaya, Selangor dan dibesarkan di Kuala Lumpur. Beliau mula bergiat aktif dalam persada hiburan tempatan pada 1995 sebagai bintang iklan Jack and Jill. Pada tahun 1996, beliau bergiat aktif dalam bidang lakonan buat julung kali melalui telefilem Deejay di bawah arahan pelakon dan penerbit Wafa Abdul Kadir. Selepas itu beliau juga turut berlakon dalam beberapa telefilem yang lain antaranya Cinta dan Keadilan (2009), Rashid & Co (2010) dan telefilem disamping isterinya Sazzy Falak, Dan Sebenarnya. Nazril berlakon dalam filem pertamanya, Kayangan pada 2009 di mana beliau melakonkan watak sampingan dan diikuti oleh Tanda Putera (2013). Selain berlakon, beliau turut aktif dalam bidang pengacaraan antaranya ialah Wanita Hari Ini, The Breakfast Show dan Let’s Talk with Nazril Idrus.

Pada tahun 2009, beliau bersama Sazzy menyertai rancangan realiti Sehati Berdansa musim ketiga di Astro Ria. Pasangan ini mendapat tempat kedua kerana tewas pasangan Sein & Nana di kemuncak akhir yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 26 Disember 2009. Program realiti kedua yang turut disertai oleh beliau ialah The Apprentice Asia pada tahun 2013. Nazril merupakan peserta pertama dari Malaysia di dalam program tersebut.

Bagi kerjayanya dalam bidang keusahawanan dan pelaburan, beliau menubuhkan LVG Consultants dan merupakan seorang pengarah bagi SFbySazzyFalak Sdn Bhd yang merupakan salah satu perniagaan pakaian dalam talian di Malaysia.

Beliau berkahwin dengan pasangannya iaitu Sazzy Falak, juga seorang pelakon dan personaliti televisyen terkenal dalam satu majlis penuh istiadat pada 8 November 2006. Mereka telah dikurniakan dengan sepasang kembar perempuan iaitu Imaan Lily dan Tiara Rose pada tahun 2011.